Bilik Multisensori mampu kembang minda murid berkeperluan khas (MBK)

Penggunaan kemahiran motor amat berkait rapat dengan integrasi sensori kanak-kanak. Menurut Mahfuzah Zainol (2017), aktiviti kemahiran motor kasar merupakan kemahiran yang perlu dikuasai kanak-kanak. Aktiviti ini memberi impak kepada kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam pembelajaran seperti kemahiran menulis, menumpukan perhatian, mengikut arahan, kemahiran sosial dan interaksi. Maka dengan itu, PPKI Sekolah Kebangsaan Serom 8 mengambil inisiatif mewujudkan bilik sensori bagi membantu murid-murid berkeperluan khas mendapat terapi latihan fizikal secara berkala. Bilik Sensori Sekolah Kebangsaan Serom 8 mula beroperasi sejak bulan Januari 2021 hasil tajaan beberapa persatuan dan golongan budiman. Pada mulanya, bilik sensori belum mendapat perhatian dan kerjasama daripada warga sekolah. Namun, dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh guru-guru PPKI dan Pembantu Pengurusan Murid(PPM) dalam merencanakan pembinaan bilik sensori ini mula mendapat perhatian warga sekolah seterusnya pihak luar dalam membantu usaha murni ini untuk menjayakan misi pembinaan bilik sensori. Bilik sensori ini diberi nama “Bilik Sensori Adhwa”. Adhwa yang dipetik dari maksud Bahasa Arab sendiri yang membawa erti “Cahaya”. Semoga dengan nama yang baik itu memberi sinar kejayaan buat murid-murid berkeperluan khas SK Serom 8 dalam usaha membantu mereka mencapai kehidupan yang optimum.

Pernahkah kita mendengar, suara-suara sinis yang mengatakan murid-murid berkeperluan khas tidak mempunyai masa hadapan? Ya, ayat-ayat tersebut sering kita dengar kerana mereka yang mengatakan begitu belum faham dan tidak memandang dari sudut positif bagaimana individu lain dapat membantu murid-murid MBK memperkembangkan potensi mereka.. Pembelajaran secara “chalk dan talk” bagi murid-murid berkeperluan khas adalah tidak wajar kerana murid-murid berkeperluan khas mempunyai kelainan yang berbeza.  Dengan itu, pendekatan pembelajaran yang khusus buat mereka perlu digunakan bagi memupuk dan meningkatkan kemahiran agar membolehkan murid-murid MBK dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti seharian. Tahukah kita bagaimana cara merangsang perkembangan murid berkeperluan khas? Jawapannya ialah merangsang semua deria mereka terlebih dahulu.

Melalui piramid pembelajaran seperti di Rajah 1, kita dapat mengetahui bahawa deria atau sensori merupakan perkara yang paling asas dalam perkembangan kanak-kanak. Sensori di dalam Bahasa Melayu bermaksud deria. Deria manusia terdiri daripada lima bahagian iaitu sentuhan (tactile), penglihatan (visual), pendengaran (auditory), menghidu bau-bauan (olfactory) dan merasa (gustatory). Juga terdapat dua deria tambahan iaitu pergerakan otot dan sendi (proprioceptive) dan juga keseimbangan badan (vestibular). Asas pemprosesan dan penaakulan deria yang mantap sangat penting dalam memastikan anak-anak tidak menghadapi isu- isu berbangkit seperti tidak boleh fokus, tidak boleh duduk diam dan mempunyai sistem motor yang tidak matang apabila sudah semakin membesar. Sensori integrasi merujuk kepada cara sistem saraf menerima maklumat daripada persekitaran melalui sensori dan menterjemahkan kepada tindakbalas motor (action) dan tingkahlaku yang bersesuaian. Contohnya, bagaimana guru memperkenalkan buah epal kepada murid-murid MBK, daripada menggunakan kad imbasan epal lebih baik menggunakan epal yang betul kerana jika kad imbasan ia hanya menggunakan 2 deria sahaja iaitu pendengaran dan penglihatan. Jika kita beri buah betul, ia secara tidak langsung menggunakan semua deria.

  1. Sentuhan, murid pegang tekstur dan bentuk epal.
  2. Auditori, murid dengar perkataan epal.
  3. Visual, murid lihat buah epal.
  4. Bau, murid bau epal.
  5. Rasa, murid rasa epal.
  6. Sendi, murid pegang dan mengagak berat epal.
  7. Keseimbangan, murid cuba seimbangkan badan dan tangan semasa memegang epal.

Teknik ini juga sangat berkesan untuk murid-murid yang menghadapi masalah dalam berkomunikasi. Dalam kesan jangka panjang, penggunaan bilik sensori setiap hari dapat membantu murid MBK ini mempelajari kemahiran-kemahiran penting seperti melakukan pergerakan lokomotor, bukan lokomotor, bertutur, mengingati dan berinteraksi dengan orang lain. Pernahkan anda mendengar berkenaan Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD)? Gangguan Pemprosesan Sensori (SPD) berlaku sekiranya kanak-kanak mengalami gangguan pada salah satu daripada  sensori tersebut ianya akan menjejaskan beberapa kefungsian badan disebabkan maklumat menjadi tidak teratur dan mempunyai masalah dalam mentafsir persekitaran dengan cara yang berbeza dan akhirnya akan menjejaskan kehidupan harian. Antara tanda-tanda SPD ialah :

  1. hipersensitif atau hyposensitif kepada sentuhan, pergerakan, penglihatan atau bunyian.
  2. Impulsif atau kurang kawalan diri.
  3. Kesukaran dalam menyesuaikan diri di tempat baru atau belajar benda baru dan mudah terganggu.

Maka dengan ini, Murid-murid MBK ini amat memerlukan bantuan daripada Paediatric Occupational Therapy untuk membantu keupayaan murid-murid MBK yang mempunyai kelainan terhadap perkembangan.  Kenapa Paediatric Occupational Therapy penting untuk perkembangan murid-murid Berkeperluan Khas?

  1. Terapi yang dijalani akan membantu murid-murid MBK meningkatkan kekuatan otot mereka.
  2. Terapi juga dapat meningkatkan keseimbangan mereka.
  3. Melalui terapi, murid-murid akan lebih yakin untuk melakukan sesuatu dan mampu meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi.
  4. Membantu MBK mencapai matlamat mereka dalam jangka masa yang panjang bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
  5. Menggunakan Pendekatan Holistik iaitu merangkumi MBK sendiri, penjaga dan juga komuniti untuk memastikan kesejahteraan pemulihan dan habilitasi.

Namun begitu, bagi murid-murid MBK yang kurang berkemampuan, maka amatlah tipis harapan dan peluang buat mereka menghadirkan diri ke kelas terapi berbayar yang kosnya amat tinggi di pasaran. Maka dengan itulah, guru-guru PPKI SK Serom 8 yang mempunyai bidang yang kursus dalam bidang terapi dan rehabilitasi memainkan peranan dalam menjayakan misi dan harapan besar ini.

Kesimpulannya, diharapkan dengan adanya bilik sensori ini dapat membantu murid-murid menguasai kemahiran motor kasar dan motor halus dengan lebih baik supaya mereka dapat hidup secara berdikari dalam kehidupan harian mereka. Berpegang dengan kata, orang-orang berjaya di dunia ini pada awalnya bermula dengan satu harapan dan impian. Demi harapan dan impian, mereka mula berusaha membuktikannya. Sehingga mencapai kejayaan. Impian menjadi realiti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s