Tips Mengajar dengan Murid Berkeperluan Khas

Pengajaran subjek muzik kepada murid berkeperluan khas secara atas talian adalah sangat mencabar, tapi dalam masa yang sama, mampu memberi nilai yang besar dan mengujakan. Berikut adalah sedikit tips daripada saya tentang bagaimana mengajar muzik kepada murid berkeperluan khas dengan lebih berkesan.

1. Kenalpasti murid anda secara individu. 

Kenalpasti latar belakang keluarga murid kita. Adakah murid anda berkemampuan atau tidak untuk mengikuti kelas secara atas talian? Kenalpasti juga potensi, kebolehan dan kekangan murid secara peribadi. Adakah murid anda mampu melunaskan tugas akademik mereka secara kendiri atau adakah ketidakupayaan yang murid kita sedang hadapi membolehkan mereka untuk mengikuti kelas secara atas talian tanpa sebarang gangguan? Adakah murid anda mengalami kesukaran untuk melakukan pergerakan atau sebarang aktiviti muzikal dan bagaimana cara kita untuk mengatasinya? Kenalpasti juga apa yang membuatkan murid anda lebih fokus apabila guru mengajar secara atas talian, contohnya menggunakan instrumen yang dekat di hati mereka atau perkara yang mereka suka. Penting untuk guru untuk menyelami dan mengenal pasti murid berkeperluan anda secara menyeluruh bagi memastikan kelas dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

2. Bina hubungan yang erat dengan ibu bapa atau penjaga murid anda. 

Ketahuilah bahawa ibu bapa atau penjaga murid adalah ADIWIRA sepanjang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR). Tanpa mereka, sangat sukar untuk guru menyampaikan ilmu kepada murid berkeperluan khas, lebih-lebih lagi yang memerlukan bimbingan dan perhatian khusus. Ibu bapa atau penjaga murid tidak semestinya memiliki bakat atau mempunyai latar belakang dalam bidang muzik untuk membimbing anak mereka dalam aktiviti muzikal, mereka sekadar boleh memahami apa arahan yang cuba disampaikan oleh guru dan membantu anak mereka untuk melakukan aktiviti muzikal yang bersesuaian.

3. Guna alatan atau bahan bantu mengajar yang senang untuk didapati oleh murid anda. 

Penggunaan alatan seperti alat permainan yang dimiliki oleh murid untuk mengajar konsep muzik juga sangat efektif bagi kelas atas talian. Gunakan kain atau baju yang dimiliki oleh murid anda untuk mengajar konsep pergerakan mengikut muzik. Guna alatan dapur untuk mengajar permainan alat muzik atau menggunakan bahan kitar semula untuk membina alat muzik secara DIY. Sebagai contoh, saya pernah menggunakan piring besar untuk mengajar alat muzik Kompang. Jangan membebankan keluarga murid dengan mewajibkan untuk mendapatkan keperluan bahan mengajar seperti yang kita inginkan.

4. Penggunaan arahan dan bahasa yang mudah dan senang untuk difahami serta ulang arahan tersebut dengan kerap, terutamanya bagi murid masalah pembelajaran. 

Elakkan dari menggunakan bahasa kiasan ataupun secara puitis ketika memberi arahan untuk melaksanakan aktiviti muzikal. Contoh arahan mudah untuk mengajar konsep bunyi kuat dan lembut, “Singa Aummmm (sambil membuat bunyi Kuat), Kucing Meoww (sambil membuat bunyi Lembut), sekarang nyanyi lagu ini seperti suara Singa (Nyanyi Kuat), sekarang nyanyi lagu ini seperti suara Kucing (Nyanyi Lembut)”. Sabar dan ulang arahan atau ayat mudah yang ingin kita sampaikan. Contohnya, bagi aktiviti bergerak mengikut muzik, “Angkat tangan, angkat tangan tinggi-tinggi, angkat tangan, angkat tangan seperti cikgu, angkat tangan, pandai anak murid cikgu”.

5. Pelbagaikan kaedah penyampaian ketika melaksanakan kelas. 

Tujuannya adalah menarik perhatian murid berkeperluan khas untuk melihat screen atau mendengar arahan yang cuba kita sampaikan menggunakan unsur-unsur kecindan dan mudah untuk mereka fahami sesuatu perkara. Contohnya, menggunakan kaedah penyampaian secara lakonan dengan melakonkan watak-watak yang disukai oleh murid kita untuk mengajar eksplorasi bunyi umpamanya (menggunakan watak kartun, binatang dan sebagainya). Guru juga boleh melakukan aktiviti kelas atas talian dari kebun atau di sekitar kawasan rumah untuk menarik perhatian murid daripada cepat merasa bosan apabila melihat suasana atau tempat yang sama sahaja pada screen. Kita juga boleh menggunakan patung ketika mengajar murid tentang topik yang berkaitan. Patung mempunyai pengaruh yang sangat besar untuk menarik perhatian murid berkeperluan khas ketika kelas dilaksanakan. Malah, kaedah penyampaian menggunakan permainan juga sangat berkesan untuk menarik perhatian murid, sama ada permainan secara atas talian seperti Wordwall, Quizizz dan sebagainya atau permainan secara langsung contohnya meneka bunyi yang mereka dengar dan memberi markah bagi siapa yang menjawab dengan pantas.

6. Jangan malu melayan mereka dengan cara mereka atau berkelakuan seperti mereka. 

Jangan malu meniru intonasi mereka, intonasi kanak-kanak atau suara seakan-akan suara anak murid kita sendiri. Lebih-lebih lagi sekiranya ada kelibat ibu bapa atau ahli keluarga lain yang turut bersama-sama ketika kelas kita dijalankan. Sekiranya kalau guru perlu menjerit, menjeritlah. Sekiranya guru perlu membuat bunyi menangis, buatlah suara menangis. Sekiranya guru perlu melakukan pergerakan bersama dengan patung atau objek lain, lakukanlah tanpa perlu merasa malu. Hubungan erat antara guru dan murid berkeperluan khas sangat penting untuk membantu proses perkembangan murid dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, dan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara guru dengan murid adalah melayan mereka sebagaimana cara kehidupan seharian mereka.

7. Make it simple and nice. 

Jangan mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan kelas secara atas talian. Durasi masa yang paling sesuai untuk melaksanakan kelas secara atas talian dengan murid berkeperluan khas adalah sekitar 20 sehingga 30 minit sahaja. Kelas yang mengambil masa yang terlalu lama bukan sahaja menyebabkan murid merasa cepat bosan tetapi juga boleh mendatangkan tekanan (stress, gelisah dan tidak selesa) dan akhirnya boleh menyebabkan murid marah, mengamuk atau menangis kerana menghadap screen komputer dengan terlalu lama. Walaupun murid berkeperluan khas kebiasaannya dilihat suka menggunakan gajet, ini tidak bermaksud mereka boleh bertahan dan suka untuk mengikuti kelas kita secara atas talian pada tempoh masa yang lama. Dalam tempoh masa 20 sehingga 30 minit, lakukan pelbagai jenis aktiviti muzikal, seperti melakukan pergerakan, menyanyi ataupun bermain alat muzik DIY.

Perkongsian diatas adalah sekadar pengalaman saya sebagai seorang Guru Muzik di sekolah kebangsaan pendidikan khas bersama dengan murid berkeperluan khas kategori murid ketidakupayaan penglihatan dan murid yang mempunyai masalah pembelajaran sepanjang tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah. Perkongsian saya tidak semestinya sesuai untuk dilaksanakan bersama dengan anak murid anda tetapi tidak salah untuk bereksperimen dan sekiranya kurang sesuai boleh cuba tips yang telah saya kongsikan dan disesuaikan dengan situasi serta keadaan anak murid berkeperluan khas yang anda miliki. You can do it!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s