Apakah itu Pendidikan Seks?

Pengenalan

Pada siri artikel yang pertama “Pendidikan Seks. Apakah yang Anda Tahu? Persepsi Masyarakat”, penulis telah mengupas isu persepsi masyarakat terhadap pendidikan seks dan faktor-faktor yang menyebabkan ianya tidak dapat dikupas secara terbuka dalam konteks pendidikan. Pada siri artikel kedua, penulis akan memberi huraian tentang maksud sebenar Pendidikan Seks. 

Apakah itu Pendidikan Seks?

Walau tanggapan terhadap pendidikan seks sedemikian rupa, adakah ia benar? Adakah ramai mengetahui apa itu pendidikan seks dan apa yang diajar dalam pendidikan seks? Apa itu pendidikan seks? Hakikatnya pendidikan seks bukan hanya memfokuskan aspek aktiviti seksual semata-mata, tetapi suatu pendedahan atau mengajar dan menyentuh pelbagai aspek kehidupan. Menurut John L. 1947, untuk mentakrifkan seks, ianya perlu dikaitkan dengan aspek-aspek dalam kehidupan. Secara ringkasnya, berikut antara aspek yang sebenarnya dipelajari dalam pendidikan seks;

  • Aspek Identiti dan Personaliti Diri

Aspek ini lebih menyentuh dan memberi pendedahan kepada ciri-ciri identiti dan personaliti diri mengikut jantina atau kecenderungan keperibadian seseorang (contohnya, lelaki yang berwatakan seorang perempuan atau disebaliknya dan bagaimana untuk mengendalikannya). Aspek ini juga menyentuh apakah dimaksudkan ciri-ciri, kelakuan atau personaliti seorang mengikut jantina iaitu jantina seorang lelaki atau seorang perempuan.

  • Aspek Bahagian Tubuh Badan

Bagi aspek ini lebih menyentuh kepada nama-nama anggota bahagian tubuh badan manusia mengikut jantina serta fungsinya dalam konteks sains dan biologikal (contohnya peranan rerambut badan, fungsi mulut dan sebagainya). Dalam aspek ini juga menerangkan apakah perbezaan diantara bahagian tubuh badan yang dimiliki oleh lelaki dan perempuan.

  • Aspek Proses Perkembangan dan Pertumbuhan Manusia

Aspek ini mengajar proses perkembangan dan pertumbuhan manusia mengikut jantina daripada usia bayi kepada usia warga emas ataupun ke usia dewasa. Dalam aspek ini juga turut mengajar apakah yang bakal berlaku sepanjang proses perkembangan dan pertumbuhan manusia dalam pelbagai aspek dan bagaimana untuk menghadapikannya. Contohnya, situasi di mana apabila bermulanya kitaran haid seseorang remaja perempuan dan apa yang seharusnya dilakukannya apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

  • Aspek Agama dan Moral

Aspek ini memberi pendedahan pendidikan seks dari sudut pandangan agama dan diajar mengikut acuan serta ciri-ciri fahaman kepercayaan agama masing-masing. Setiap agama mempunyai pandangan tersendiri terhadap pendidikan seks. Contohnya dalam Islam, (Siti Suhaili Ihwani et al., 2017) Abdullah Nasih Ulwan (1989) menyatakan bahawa pendidikan seks harus diajar kepada anak-anak dengan jelas dan terperinci apabila anak-anak telah berakal. Beliau mendefinisikan pendidikan seks sebagai:

“Mengajar, menjelaskan dan memberi peringatan kepada remaja tentang isu yang berkaitan dengan seks, naluri, nafsu (syahwat) dan hubungannya dengan perkahwinan…sehingga mereka membesar dalam keadaan memahami erti kehidupan. Remaja mengetahui apa yang dibenarkan dan apa yang ditegah dan mereka menjadikan sikap dan tingkah laku Islam sebagai praktik dalam kehidupan.”

Bahkan dalam agama Kristian mengajar tentang bahawa tubuh badan manusia adalah ciptaan Tuhan yang sangat suci dan menegah daripada melakukan hubungan seks bebas.

Selain daripada sudut pandangan agama, aspek ini juga menitiberatkan nilai-nilai moral dan nilai kemanusiaan. Contohnya, penerapan nilai harga diri, nilai bertanggungjawab dan sebagainya dalam kehidupan. Sebagai seorang lelaki apakah nilai yang sewajarnya bila berhadapan dengan perempuan (lelaki menghormati hak-hak seseorang perempuan dan tidak memalukannya menggunakan isu-isu seksual dan sebagainya).

  • Aspek Perasaan dan Emosi

Aspek ini mengajar tentang perubahan-perubahan emosi yang bakal berlaku di setiap fasa perkembangan dan pertumbuhan seseorang dan bagaimana cara untuk mengendalikannya (perubahan emosi apabila seseorang mencapai tahap matang atau berlakunya perubahan hormon). Selain itu, aspek ini juga mengajar tentang jenis-jenis perasaan yang bakal timbul, lebih-lebih lagi dalam kalangan murid sekolah usia remaja (contohnya seseorang sudah mempunyai perasaan untuk dicintai atau mencintai seseorang). Aspek ini penting untu didedahkan kepada murid sekolah agar setiap mereka tahu bagaimana untuk mengendalikan emosi dan perasaan dengan cara yang betul dan menghindari sebarang masalah yang tidak diingini berlaku (kes mengandung luar nikah, kes pembuangan bayi, kes jenayah seksual dan sebagainya). 

  • Aspek Bulatan Perhubungan Sosial

Aspek ini mengajar terhadap perhubungan sosial yang sihat dan sewajarnya dilakukan oleh seseorang seperti yang telah dicadangkan dalam bulatan perhubungan sosial. Bukan semua individu atau orang lain boleh membuat sentuhan secara fizikal seperti memberi salam atau pelukan kepada kepada kita. Aspek ini antara aspek yang paling penting diajar sejak dari usia kecil bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat mengetahui dengan siapakah mereka boleh bersalam dan apakah yang perlu dilakukan sekiranya berhadapan dengan orang asing.

Gambar Rajah 1.2 Bulatan Perhubungan Sosial
(Sumber Rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia)
  • Aspek Konsep Awam dan Persendirian 

Aspek ini mengajar tentang konsep awam (aktiviti, situasi, tempat atau ruang yang boleh dikongsikan dengan orang lain) dan konsep persendirian (aktiviti, situasi, tempat atau ruang yang hanya dikhususkan untuk diri sendiri atau dengan bantuan orang yang boleh dipercayai sahaja seperti ibu bapa). Kebiasaannya, murid sekolah banyak terlibat dengan aktiviti sukan dan kokurikulum, dan ini memerlukan mereka menukar pakaian sekolah ke pakaian sukan atau pakaian yang berkaitan. Sekiranya aspek ini tidak diberi pendedahan yang sewajarnya, kebanyakan murid sekolah terutamanya bagi murid sekolah rendah, beranggapan bahawa semua tempat boleh dijadikan tempat untuk menukar pakaian. 

  • Aspek Sentuhan 

Aspek ini mengajar tentang apakah yang dimaksudkan dengan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. Situasi ibu memeluk anaknya merupakan salah satu contoh kepada sentuhan selamat. Manakala bagi contoh sentuhan tidak selamat ialah dimana situasi seorang abang menarik rambut adik perempuannya. Aspek ini penting bagi memastikan setiap murid sekolah tanpa mengira lapisan umur dapat memahami dan membezakan antara sentuhan selamat atau okay serta sentuhan tidak selamat atau tidak okay.

Gambar Rajah 1.3 Pelbagai Gambar yang menunjukkan Sentuhan Okay dan Sentuhan Tidak Okay
  • Aspek Rancangan Keselamatan 

Aspek ini mengajar apa yang perlu dilakukan bila berhadapan dengan situasi yang melibatkan aktiviti serangan seksual atau situasi yang membuat seseorang merasa tidak selesa. Selain itu, dalam aspek ini juga mengajar kepada siapakah yang perlu dihubungi atau dengan siapakah untuk dapatkan bantuan apabila berhadapan dengan situasi yang tidak diingini berlaku. Bahkan, masyarakat dapat mengetahui peranan setiap agensi-agensi yang berkaitan (contohnya, pihak polis, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta sebagainya) dalam membantu mangsa jenayah seksual.

Kesimpulan

Sedar atau tidak sedar, aspek-aspek pendidikan seks sebenarnya diajar di dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah, umpamanya; Pendidikan Jasmani, Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Sains, Sains Tambahan dan Biologi. Walau bagaimanapun, penyampaian secara berfokus terhadap pendidikan seks tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Hal ini kerana setiap mata pelajaran mempunyai fokus yang berbeza-beza apabila menyentuh atau melibatkan elemen pendidikan seks dan akhirnya permahaman sebenar terhadap pendidikan seks tidak dapat disampaikan dengan sepenuhnya di kalangan murid sekolah. Malahan, diluar sekolah juga pendedahan terhadap ilmu pendidikan seks yang sewajarnya kurang didedahkan secara terbuka kepada murid sekolah dan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Pentingnya pemahaman sebenar kepada pengertian pendidikan seks bagi mengelakkan salah faham yang berterusan.

PERKONGSIAN ARTIKEL INI AKAN BERSAMBUNG KE SIRI ARTIKEL YANG KETIGA DI BAWAH TAJUK “PENDIDIKAN SEKS. APA YANG ANDA TAHU? KESAN DAN TINDAKAN” PENULIS AKAN MENGUPAS APAKAH KESAN BURUK YANG BERLAKU SEKIRANYA TIADA ATAU KURANGNYA PENDEDAHAN TERHADAP PENDIDIKAN SEKS KHUSUSNYA KEPADA MURID SEKOLAH. SETERUSNYA PENULIS AKAN MENGUPAS APA TINDAKAN YANG BOLEH DILAKUKAN DALAM MENGAJAR PENDIDIKAN SEKS KEPADA MURID SEKOLAH.

Sumber Rujukan

  1. Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 03 April 2017; https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-03042017.pdf 
  1. What is Sex Education? John L. C. Goffin M.D. June 1984; https://doi.org/10.1111/j.1746-1561.1947.tb02597.x 
  1. Pengajaran Elemen Pendidikan Seks Dalam Pendidikan Islam. Siti Suhaila Ihwani et al., 2017;
    http://conference.kuis.edu.my/isra/eprosiding/pdf/008-ISRA-2017.pdf 
  1. Belia dan Isu Jenayah Masa Kini di Malaysia. Jamilah Ahmad et al., 2016; https://www.iyres.gov.my/images/com_catalogue/covers/mjys/BeliadanIsuJenayahMasaKinidiMalaysia.pdf 
  1. 1,721 Kes Jenayah Seksual Kanak-kanak. MyMetro, 18 Ogos 2020; https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/611494/1721-kes-jenayah-seksual-kanak-kanak 
  1. Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia; http://www.myhealth.gov.my/memahami-seksualiti/ 
  1. Kredit Gambar; Mindblowon @ 2020. Tahilalats.com https://web.facebook.com/tahilalats 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s