Persepsi Masyarakat tentang Pendidikan Seks

Pengenalan

Pendidikan seks merupakan satu topik yang sangat sensitif dan kurang diperbincangkan secara terbuka oleh kebanyakan masyarakat Malaysia. Ramai beranggapan bahawa isu pendidikan seks ini lebih banyak mendatangkan kemudaratan atau kesan-kesan negatif apabila diperbincangkan secara terbuka walaupun dalam konteks pendidikan di kalangan murid sekolah.

Persepsi Masyarakat

Perkataan “seks” itu sendiri sering kali dianggap sesuatu yang negatif dan ianya bukan norma masyarakat Malaysia secara keseluruhannya untuk membincangkan topik ini secara terbuka walaupun dengan tujuan pendidikan. Setiap kali munculnya perkataan “seks” ramai berpendapat bahawa ianya lebih mengupas tentang isu-isu yang melibatkan aktiviti persetubuhan atau aktiviti hubungan seks dengan pasangan masing-masing. Malahan, apa sahaja isu yang berkaitan dengan seks walaupun dalam konteks pendidikan, ianya tetap dianggap sebagai sesuatu benda yang lucah, memalukan dan tidak wajar untuk diperbincangkan dengan lebih mendalam. Kini, keadaan menjadi lebih parah apabila kebanyakan masyarakat lebih selesa membincangkan isu seks sebagai bahan jenaka berbanding membincangkannya dari aspek pendidikan.

Faktor-faktor Mengapa Sukarnya Pendidikan Seks diajar Secara Terbuka Dalam Konteks Pendidikan

Ramai berpendapat bahawa pendidikan seks (mengikut model pengajaran dan pembelajaran negara barat) merupakan satu mata pelajaran yang hanya mengajar cara-cara melakukan hubungan seks yang selamat dengan pasangan masing-masing dan ini menjadi salah satu faktor mengapa ianya tidak boleh dikupas secara terbuka walaupun dalam konteks pendidikan. Oleh itu ramai yang tidak setuju bahawa pendidikan seks harus diajar di peringkat sekolah. Kebanyakan masyarakat berasa takut dengan adanya pendidikan seks ini boleh mengakibatkan murid dengan mudahnya terjebak dengan isu-isu yang melibatkan masalah seksual. Realitinya, model pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks tidak seharusnya mencontohi model yang digunapakai oleh negara barat. Model ini boleh dirangka mengikut kesesuaian norma kehidupan, budaya dan agama masyarakat setempat, bagi memastikan penyampaian ilmu pendidikan seks dapat disampaikan dengan sebetulnya. 

Antara faktor lain yang menjadi igauan buruk kebanyakan orang ialah faktor perasaan ingin tahu yang tinggi dalam kalangan murid sekolah tanpa mengira lapisan umur terhadap seks. Persepsi kebanyakan orang dengan adanya pendedahan pendidikan seks, murid sekolah dengan mudahnya akan terjebak untuk melakukan hubungan seks bebas ataupun terlibat dengan aktiviti-aktiviti seksual yang tidak bermoral. Masyarakat takut apabila perkataan seks disebut secara terbuka, murid sekolah akan melakukan aktiviti seks. Realitinya, murid sekolah gagal memahami maksud sebenar seks kerana mereka tidak mendapatkan bimbingan dan ilmu yang sewajarnya dalam pendidikan seks daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya daripada ibu bapa dan guru sekolah. Setiap kali mereka ingin untuk memahami perkara sebenar dalam pendidikan seks dan ingin bertanya tentang soalan-soalan yang berkaitan, kebanyakan masyarakat memarahi mereka atau menolak untuk menjawabkannya.

Selain itu, faktor kurangnya ilmu pengetahuan dalam penyampaian ilmu pendidikan seks yang betul menyebabkan masyarakat khususnya ibu bapa dan guru tidak berani untuk membincangkannya secara terbuka. Setiap kali diajukan soalan-soalan yang berkaitan dengan pendidikan seks, umpamanya; “Dari manakah datangnya bayi?” “Mengapakah ada darah mengalir di bahagian alat sulit saya?” “Bolehkah saya mencium pipi dia?” dan sebagainya lagi, kebanyakan masyarakat cenderung untuk memarahi atau menukar topik perbualan secara serta merta. Hal ini menyebabkan murid sekolah tanpa mengira lapisan umur tidak berpeluang mendapatkan maklumat yang sewajarnya. Perkara ini sangat berbahaya kepada murid sekolah kerana dikhuatiri ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengeksplotasikan pemahaman mereka terhadap pendidikan seks dan membimbing kearah jalan yang salah.

Kesimpulan

Persepsi masyarakat itu sangat penting, bagi memastikan masyarakat secara keseluruhannya dapat memahami mengapakan pendidikan seks ini sangat penting untuk diajar kepada murid sekolah tanpa mengira lapisan umur dan peringkat sekolah. Sekiranya persepsi kebanyakan masyarakat yang masih memandang negatif terhadap maksud sebenar pendidikan seks, sukar untuk memberi pendedahan ilmu yang sewajarnya kepada masyarakat umum, khususnya untuk murid sekolah. Pemahaman yang betul juga terhadap maksud sebenar pendidikan seks sangat penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat memahami dengan betul dan prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan dengan jenayah seksual.

PERKONGSIAN ARTIKEL INI AKAN BERSAMBUNG KE SIRI ARTIKEL YANG KEDUA DI BAWAH TAJUK “PENDIDIKAN SEKS. APA YANG ANDA TAHU? APA ITU PENDIDIKAN SEKS?” PENULIS AKAN MENGUPAS MAKSUD SEBENAR PENDIDIKAN SEKS.

Sumber Rujukan

  1. Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 03 April 2017; https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-03042017.pdf
  1. What is Sex Education? John L. C. Goffin M.D. June 1984; https://doi.org/10.1111/j.1746-1561.1947.tb02597.x
  1. Pengajaran Elemen Pendidikan Seks Dalam Pendidikan Islam. Siti Suhaila Ihwani et al., 2017;
    http://conference.kuis.edu.my/isra/eprosiding/pdf/008-ISRA-2017.pdf
  1. Belia dan Isu Jenayah Masa Kini di Malaysia. Jamilah Ahmad et al., 2016; https://www.iyres.gov.my/images/com_catalogue/covers/mjys/BeliadanIsuJenayahMasaKinidiMalaysia.pdf
  1. 1,721 Kes Jenayah Seksual Kanak-kanak. MyMetro, 18 Ogos 2020; https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/611494/1721-kes-jenayah-seksual-kanak-kanak
  1. Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia; http://www.myhealth.gov.my/memahami-seksualiti/
  1. Kredit Gambar; Mindblowon @ 2020. Tahilalats.com https://web.facebook.com/tahilalats

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s