“Betul ke cikgu tak ada kerja?” Lima dapatan daripada seorang guru

Setelah lebih daripada tiga bulan terkongkong di rumah bersama-sama keluarga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya sekolah dibuka semula pada 24 Jun 2020 yang lepas. Berbeza dengan suasana pembelajaran sebelum dilanda virus berbahaya ini, pembukaan semula sekolah kini berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia. Peranan dan tanggungjawab guru juga menjadi semakin besar kerana tugas guru tidak hanya tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) semata-mata, malah merangkumi keselamatan murid-murid mereka juga. 

Baru-baru ini, keluar pula suatu artikel yang mempertikaikan tanggungjawab seorang guru selepas waktu persekolahan; seolah-olah seseorang guru itu tiada kerja. Untuk mengupas isu yang diketengahkan ini, saya dijemput sebagai panel dalam program Wacana Sinar Harian yang bertajukkan “Betul ke Cikgu Tak Ada Kerja?”. Saya dengan dua lagi panel yang cukup berpengalaman, Cikgu Harry Tan (Setiausaha Agung NUTP) dan Datuk Seri Dr Suhaimi Saad (Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-sekolah Putrajaya) bersama-sama mengupas isu-isu pendidikan yang berkait dengan tugas dan tanggungjawab seseorang guru. Secara ringkas, ini lima dapatan daripada saya.

1. Guru bertanggungjawab untuk memastikan SOP semasa waktu persekolahan diikut dengan betul oleh murid-murid dan guru-guru itu sendiri. Tujuan SOP ini dikuatkuasakan pun adalah untuk keselamatan semua warga di sekolah. Maklum lah, kes jangkitan Covid-19 sudah meningkat semula. Janganlah kita sesekali leka atau mengambil mudah apabila isu itu melibatkan keselamatan anak-anak murid kita yang tersayang. Saya percaya ini adalah tugas hakiki kita sebagai seorang guru dan tidak boleh ada sebarang kompromi.

2. Walaupun tanggungjawab kita sebagai guru terhadap murid-murid tidak merangkumi di luar waktu persekolahan, namun saya percaya ada beberapa situasi kita boleh mengambil langkah tambahan untuk anak-anak murid kita. Salah satu contoh seperti murid-murid sekolah rendah yang menunggu ibubapa atau bas sekolah selepas waktu bersekolah. Boleh dijadikan tanggungjawab seorang guru, terutamanya guru bertugas mingguan untuk memastikan murid-murid berada dalam kawasan sekolah ketika menunggu untuk ibubapa/bas sekolah mereka. Jika ibubapa lambat, boleh kita mengambil inisiatif menelefon mereka untuk mengingatkan mereka untuk mengambil anak mereka atau untuk mereka membuat persiapan yang lain. Sehingga itu, kita tunggu bersama murid. Saya yakin ibubapa akan menghargai usaha kita menjaga anak-anak mereka sehingga mereka sampai. Bahkan kita pun merupakan ibubapa juga. Kalau kita meletakkan diri kita dalam keadaan mereka, kita pun akan merasa sedemikian. Kan?

3. Selepas sekolah dibuka semula pasca PKP, memang tidak dapat dinafikan kita warga guru berpusu-pusu hendak menghabiskan silibus dan menyediakan anak-anak murid kita untuk peperiksaan. Sambil tumpuan kita beralih ke arah akademik murid, tidak pula kita mengambil kira emosi murid-murid kita sewaktu PKP dulu. Apakah perasaan mereka setelah lama terkongkong di rumah? Adakah mereka dapat menerima pembelajaran secara talian secara tiba-tiba setelah bertahun-tahun belajar secara fizikal? Pernahkah mereka terdedah kepada sebarang bentuk penderaan, secara fizikal mahupun emosi sewaktu PKP? Adakah mereka cukup bermotivasi untuk kembali ke sekolah untuk memulakan pembelajaran mereka? Ini adalah antara isu-isu emosi murid yang kita terlepas pandang dalam keghairahan untuk menghabiskan silibus semata-mata. Tanggungjawab kita terhadap murid-murid bukan sekadar di atas kertas sahaja, tetapi termasuk psikologi mereka juga.

4. Apabila kita dengar sahaja luahan ‘Cikgu takde kerja ke?’ atau mana-mana ayat yang seumpama dengannya, cepat-cepat kita mempertahankan diri kita. Ditambah dengan ayat-ayat  seperti, “Kamu jadilah cikgu dulu baru tahu!!”, “Siapa cakap jadi cikgu senang. Kami ini mengajar dan juga buat kerja pekeranian”, “Sudah-sudahlah hendak menyalahkan semuanya pada cikgu. Kamu takkan faham.”, dan lain-lain lagi. Hakikatnya isu ini telah disensasikan oleh pihak-pihak kurang cerdik yang tidak membawa sebarang manfaat kepada kita. Tidak perlulah nak sentiasa mempertahankan diri kita setiap kali kita dilemparkan dengan tohmahan-tohmahan tidak berasas tu. Kita kembali ke tugasan hakiki kita laitu mengajar dan mendidik anak-anak murid kita. Kita berikan yang terbaik kepada mereka. Biarlah kejayaan mereka yang sentiasa menjadi sumber motivasi dan kebanggaan kita sebagai seorang guru. 

5. Apabila ada sahaja jawatan warden sekolah yang ditawarkan kepada seorang guru, peratusan yang menolak jawatan tersebut adalah tinggi. Tidak boleh pula salahkan cikgu tersebut kerana tugas warden sekolah adalah berat dan pada masa yang sama perlu menjalankan tugas hakiki seorang guru. Tugas sebagai warden sekolah ini memang padat dari pagi sehinggalah ke malam. Bayangkan kalau murid sakit, murid hisap rokok, murid dibuli, dan lain-lain; semuanya perlu diselesaikan oleh warden sekolah. Tetapi elaun warden sekolah hanya sebanyak RM 240 dan tidak setimpal bebanan tugas yang begitu banyak membabitkan gred mereka. Tambahan, dua elaun lain pula di potong separuh. Diharapkan isu ini diberi perhatian oleh pihak atasan agar permasalahan yang dihadapi warden sekolah boleh diselesaikan.

Jadi, begitulah secara ringkas kupasan daripada sesi wacana dari persepktif saya. Walaupun banyak lagi yang dibincangkan, saya menonjolkan lima poin ini sahaja. Jadi guru memang suatu pekerjaan yang mulia. Tidak kira apa sahaja yang dilemparkan terhadap pekerjaan kita, inilah hakikatnya – kitalah pembentuk akhlak dan kemenjadian seseorang murid. Janganlah kita mudah berputus asa dalam menjalankan tugas kita dengan sebaik yang mungkin. Ingat cikgu-cikgu, rezeki tu datang daripada-Nya. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s