Ulasan Belanjawan 2021 untuk Sektor Pendidikan

Belanjawan 2021 baru sahaja dibentangkan pada malam semalam. Sebagai seorang pendidik, saya sentiasa mengambil maklum tentang isu-isu berkaitan pendidikan,termasuklah peruntukan yang disalurkan kepada sektor pendidikan. Di sini saya ingin mengulas tentang beberapa perkara berkaitan dengan peruntukan yang akan disalurkan kepada sektor pendidikan.

Walaupun sektor pendidikan merupakan penerima peruntukan terbesar, sektor pendidikan menerima bajet yang rendah berbanding tahun lalu. Bajet untuk sektor pendidikan menerima peruntukan yang meningkat tahun demi tahun sejak 2013 tetapi tahun ini jumlah peruntukan telah menurun kepada RM50.4 juta dari RM64.1 juta pada Belanjawan 2020. Mungkin peruntukan kali ini banyak yang disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan akibat dari pandemik COVID-19.

Walaupun bukan di bawah sektor pendidikan, di bawah ‘Pembangunan komuniti orang asli’ (RM158 juta),  kerajaan memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan komuniti orang Asli. Salah satu usaha yang diumumkan adalah pembinaan 14 buah tadika baharu untuk kanak-kanak orang Asli. Menurut IDEAS, mereka adalah golongan yang selalu tercicir di dalam pendidikan. Oleh itu, pembinaan 14 buah tadika ini dapat membantu mereka untuk mendapat peluang pendidikan awal.

Melalui inisiatif Jalinan Digital negara (JENDELA), sebanyak RM500 juta akan disalurkan dengan bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di seluruh Malaysia. Memandangkan banyak kerja-kerja atas talian yang para guru perlu laksanakan, ini merupakan inisiatif yang baik. Walaubagaimanapun, sekolah-sekolah pedalaman haruslah diberi keutamaan kerana ketercapaian internet di pedalaman adalah terbatas. Oleh itu, untuk memastikan bahawa guru dapat melakukan kerja dengan tenang dan lancar justeru melancarkan pengurusan sebuah organisasi sekolah, saya berharap agar sekolah-sekolah pedalaman tidak ketinggalan, terutamanya sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.

Bagi inisiatif perluasan perkhidmatan jalur lebar, meskipun bukanlah di bawah sektor pendidikan tetapi ianya bermanfaat untuk pembelajaran dalam era pandemik. Kita tidak boleh beranggapan bahawa COVID-19 ini adalah satu-satunya pandemik yang kita akan lalui. Sebab itulah kita perlu bersiap siaga untuk pandemik yang akan datang supaya tidak ada lagi isu pelajar tercicir dalam pembelajaran akibat daripada ketiadaan capaian internet. Isu Veveonah diberi perhatian yang hangat tetapi warganet tidak boleh beranggapan bahawa hanya Veveonah sahaja yang mengalaminya. Ataupun hanya para pelajar yang mengalaminya. Saya sebagai guru yang menetap di sebuah pulau di Sabah pun turut mengalami situasi yang sama ketika PKPB dalam fasa COVID-19 yang ketiga yang sedang melanda negara kita. Tempoh hari saya perlu mendirikan sebuah khemah di bawah pokok untuk mendapatkan signal internet supaya saya boleh mengadakan kelas atas talian bersama dengan para pelajar saya dan juga menghantar kerja-kerja yang perlu diberi oleh pentadbir. Ini salah satu cabaran yang saya harus lalui buat seketika sahaja tetapi bagaimana pula dengan keadaan orang lain ataupun warga pedalaman yang tidak mempunyai ketecapaian internet ataupun sentiasa mengalami keidakstabilan internet? Sebagai seorang guru pedalaman, dan juga sebagai seorang yang menetap di dalam kawasan pedalaman hanya untuk sementara, saya berharap agar isu ketidakstabilan atau ketidaktercapaian internet ini boleh diselesaikan dengan serta merta. Walaupun pandemic ini akan berlalu, saya mohon agar kerajaan tidak membiarkan penduduk di pedalaman dan cuma terfikirkan mereka sahaja ketika pandemik, lalu melupakan mereka dan projek terbengkalai.

Di bawah usaha untuk mewujudkan pembelajaran kondusif di sekolah (RM 800 juta), bagi pembangunan infrastruktur 50 sekolah daif, isu ini terus diberikan perhatian oleh kerajaan tetapi saya secara peribadi berharap ini bukanlah isu yang sentiasa dibangkitkan kerana ia menunjukkan  masalah sekolah daif tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan. Pembentangan bajet semalam tidak berfokuskan Sabah dan Sarawak, tidak seperti ketika Bajet 2020, tetapi harapan saya adalah supaya bajet untuk bahagian ini diberikan lebih kepada Sabah dan Sarawak. Dari perhatian dan pengalaman saya sendiri, memang usaha pembaikan dan penaiktarafan sekolah sedang dilakukan tetapi apa yang saya risaukan adalah kualiti pembaikan dan penaiktarafan tersebut. Contohnya syiling ditampal hanya dengan kayu yang tidak berkualiti dan cepat reput. Perlukah kerajaan sentiasa menyalurkan peruntukan untuk membaiki sekolah daif? Jika kualiti pembaikan dan penaiktarafan sekolah daif ini dilakukan dengan betul dan dengan bahan-bahan yang berkualiti, maka isu sekolah daif ini tidaklah selalu muncul dan mungkin perbelanjaan kerajaan boleh disalurkan kepada aspek yang lain.

Ramai guru adalah dari golongan wanita, tetapi di bawah ‘memperkasakan golongan wanita’, tidak ada penyataan bahawa kerajaan akan menyediakan  taska atau pusat penjagaan kanak-kanak di sekolah. Sebelum ini saya selalu mendengar keluhan guru-guru wanita risau akan keadaan anak-anak mereka dan perlu mencari pengasuh. Ini akan memberi kesan kepada emosi guru tersebut dan kualiti pengajarannya di dalam kelas jika ini tidak dibendung. Saya berharap dalam masa yang akan datang akan ada inisiatif ini diadakan untuk golongan guru wanita.

Sekian sahaja ulasan saya untuk Belanjawan 2021 untuk sektor pendidikan. Saya difahamkan bahawa ini adalah cuma  pengumuman dasar dan belum di peringkat pelaksanaan. Malah, sebelum adanya pelaksanaan,  ia akan diperdebatkan di parlimen dahulu dan tunggu sama ada bajet ini akan diluluskan atau tidak.  Golongan pendidik dan orang awam perlu sentiasa peka dengan perkembangan pelaksanaan dasar dan belanjawan tersebut.

One comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s