Budaya Membunuh Permata: Sindrom “Tall Poppy”

“Alah aku muda dulu pun semangat begini juga. Cubalah dah tua macam aku ni, nak tengok power tara mana”

Tidak asing lagi, orang Melayu kita sering dituduh “bangsa pendengki”. Namun kajian telah menunjukkan sifat dengki ini wujud merentas apa jua bangsa mahupun agama. Ini dibuktikan dengan kajian “The Tallest Poppy” (diketuai Dr. Rumeet Billan) berkenaan wanita Kanada di tempat kerja. Maka ia wujud di Amerika sepertimana ia juga wujud di Asia. Ternyata perasaan tidak senang akan kelebihan yang dikecapi orang lain ini tidak tertakluk pada mana-mana kelompok manusia. Ia mampu menjadi “relatable” kepada sesiapapun.

Jadi apa itu yang dinamakan sindrom “tall poppy”?
Dan apa pula kaitannya dengan pendidikan? 

Sindrom Tall Poppy merujuk kepada fenomena atau budaya di mana masyarakat membenci, memulaukan, atau sengaja mencari kesalahan individu yang mencapai kejayaan yang luar biasa atau disegani ramai. Apa jua bentuk pembulian yang mendatangkan kesan buruk kepada seorang individu yang menyerlah dalam bidangnya boleh disifatkan sebagai sindrom “tall poppy”. Bak kata orang melayu kita, “spesis tak boleh tengok orang lebih”. 

Istilah “tall poppy” digunakan kerana bunga popi ditanam untuk tumbuh secara seragam; dan sekiranya ada bunga popi yang tumbuh lebih tinggi dari “rakannya”, ia akan dipotong supaya ketinggiannya menjadi seragam semula. Ini mirip dengan fenomena di tempat kerja di mana adanya budaya mendiamkan, mengetepikan dan memperlekehkan individu-individu yang lebih menyerlah. 

Bagaimana pula jikalau budaya ini wujud dalam kalangan pendidik sendiri? Ternyata, hatta profesion yang diangkat sebagai paling mulia juga tidak terlepas dari budaya toksik “tall poppy” ini. Benarlah kata sahabat, “Sememangnya profesion guru itu mulia…tetapi tidak semua yang bergelar guru itu mulia”. 

Kerjaya yang meletakkan anak murid, generasi masa hadapan, sebagai klien utama tidak sepatutnya menghadapi budaya ini. Seharusnya mereka yang seprofesion sudah tahu dan faham bahawa apa jua kemajuan yang diusahakan adalah untuk anak murid jua; bukannya demi kejayaan peribadi semata-mata. Ini bukannya dunia korporat di mana ahlinya perlu mengejar “rank” untuk menjadi “partner”; kita adalah guru pendidik anak bangsa!

Hairan sekali apabila segelintir dari kita tidak mampu mengetepikan sifat cemburu tidak bertempat ini, meski iainya demi anak-anak yang kita turut sama didik. Ya, sudah namanya manusia. Hujahkanlah bagaimana sekalipun ia sifat yang tidak patut, selagi namanya manusia, pasti akan ada yang kalah pada emosi berbanding logik. Sayang sekali, guru yang bersemangat membawa perubahan diperli dan dicerca. Ditohmahnya dengan kata-kata yang pelbagai.

“Disebabkan kau lah habis kita semua kena buat! Menyusahkan” 

“Tak perlu nak menunjuk. Buat kerja diam-diam sudah”
 
“Alah aku muda dulu pun semangat begini juga. Cubalah dah tua macam aku ni, nak tengok power tara mana” 

“Sembang kencang la kau. Buat bukan demi anak murid pun tu, nak naikkan diri je” 

“Padan muka banyak kerja. Siapa suruh tunjuk pandai? Tengok aku; ada skil senyap senyap je. Malas”.

Ada kata-kata yang dilontar lebih halus tetapi sama bisanya. Seperti tidak percaya, bukan? Bahawa ia tutur kata yang boleh keluar dari mulut rakan pendidik. Tapi itulah realiti pahitnya. Tidak cukup kata nista, ada mangsa yang mental dan emosinya ditekan lagi dengan dipulau dan “diboikot”. Usaha-usahanya dipandang sepi; enggan diberi kerjasama kerana percaya skop tugas guru itu cuma “masuk kelas, keluar kelas”. Sesiapa yang menambah pada skop itu adalah golongan yang sengaja mencari nahas. 

Akhirnya guru yang menjadi mangsa mengalami “emotional burnout”. Letih dengan ragam rakan sekerja yang sering tidak puas hati; meski dia cuma mahukan yang terbaik buat anak murid. Ibarat bertemu mutiara tetapi membuangnya demi batu biasa. Tidak meminta penghargaan cuma minta tidak didengki. Apakah sukar? 

Buat rakan-rakan “tall poppies”, perbaharui tekad bahawa tiada ombak yang tidak mampu diharungi, selagi usahanya demi anak didik amanah kita. Tiada jalan yang terlalu sukar, jika destinasi itu adalah kemajuan buat pendidikan bersama. 

Buat rakan-rakan yang pernah menjadi gunting memotong rakan “tall poppies”, berubahlah. Buangkan ego, dan lihatlah rakan-rakan dengan mata lebah. Apakah kau tidak malu apabila perlu menjawab dihadapan Tuhan bahawa kau telah menyekat usahanya hanya kerana hatimu sendiri? 

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sindrom ini, boleh layari pautan di bawah:

1. https://www.hcamag.com/au/news/general/tall-poppy-syndrome-the-office-trend-killing-morale/168793
2. https://thriveglobal.com/stories/understanding-tall-poppy-syndrome/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s